Laporan Hari Kerjaya 2017
Seawal jam 8 pagi semua pelajar Kolej PERMATApintar dan Asasi Pintar serta dua sekolah jemputan iaitu Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajanng (SMAP KAJANG) dan SMK Bandar Tasik Puteri telah berkumpul di auditorium bagi perasmian Hari Kerjaya 2017. Prof. Datuk Dr. Noriah Bt Mohd Ishak telah menyampaikan ucapan perasmian bagi Hari Kerjaya kali ini.
Kemudian, pelajar asas 1, 2 dan 3 serta tetamu jemputan telah menghadiri slot inventori kerjaya di tempat yang telah ditetapkan untuk didedahkan kepada pelbagai cabang pekerjaan. Sementara itu semua pelajar Tahap 1,2 dan Asasi Pintar mendengar taklimat tentang biasiswa yang dikendalikan oleh Syarikat Sime Darby Sdn. Bhd. Yayasan Sime Darby merupakan sebuah yayasan yang menawarkan biasiswa iaitu Excellence Programme, Bursary Programme dan Skill Enrichment Programme. Biasiswa yang ditawarkan layak dimohon mengikut syarat yang ditetapkan bagi pelajar yang berminat untuk menyambung pembelajaran ke luar negara.
Selepas minum pagi, para hadirin berkumpul di auditorium bagi mendengar ceramah tentang penulisan resume dan curricular vitae. Resume ialah sebuah dokumen yang memaparkan biodata ringkas, pencapaian dan pengalaman kerja dan merupakan perkara penting untuk memohon pekerjaan atau menyambung pelajaran di mana-mana fakulti. Bagi menarik perhatian majikan, resume mestilah menarik dan mengandungi maklumat yang lengkap.
Antara tips penulisan resume termasuklah menyesuaikan resume dengan bidang atau pekerjaan yang ingin dipohon. Selain itu, highlights seperti aktiviti sukarelawan, jawatan, pencapaian, pengalaman bekerja, kemahiran teknikal atau aktiviti kokurikulum perlulah disertakan supaya dapat menarik perhatian majikan. Dalam penulisan resume satu muka surat adalah digalakkan dan alamat e-mel yang tampak profesional sebaiknya menggunakan nama sendiri perlu diambil perhatian. Di samping itu, pencetak berkualiti tinggi wajar digunakan agar resume tampak kemas. Akhir sekali, pakaian yang kemas dan tampak yakin perlu dikenakan jika ingin menyertakan gambar.
Pada sesi petang pula, lawatan ke booth telah diadakan bagi memberikan pendedahan yang lebih mendalam kepada orang ramai tentang bidang-bidang yang boleh diceburi di universiti terutamanya Universiti Kebangsaan Malaysia. Antara bidang tersebut adalah farmasi, bioteknologi, undang-undang, perubatan, kejuruteraan dan banyak lagi. Booth yang dipamerkan adalah sangat menarik dan maklumat yang disampaikan adalah jelas dan lengkap. Bukan itu sahaja, terdapat juga gerai makanan yang diusahakan oleh pelajar Kolej PERMATApintar sendiri dan peniaga dari luar untuk memeriahkan lagi Hari Kerjaya pada tahun ini.
Hari Kerjaya yang dianjurkan telah mencapai objektif yang diharapkan serta membuka lagi pandangan orang ramai tentang biasiswa yang ditawarkan serta hala tuju pekerjaan selepas tamatnya pengajian. Program ini membawa maslahat terutamanya kepada pelajar kolej dan tidak dilupakan setinggi-tinggi penghargaan kepada orang ramai yang turut serta.
Disediakan oleh,
Omi Irdina
0 comments:
Post a Comment