Anak adalah anugerah Tuhan yang lahir dengan kasih sayang
Anak Permata cahaya hidup bakal berkilau di masa hadapan..
Anak merupakan anugerah paling bernilai yang telah dipinjamkan ke dunia. Merekalah yang akan menjadi penawar duka dan penenang hati jika kita mempunyai masalah dan bebanan kerja. Dengan melihat senyuman mereka sahaja seolah-olah mengangkat segala beban yang dipikul di bahu. Ada kalanya, anak-anak juga mempunyai karenah mereka tersendiri yang agak menyakitkan hati namun itu sudah menjadi lumrah dan fitrah dalam langkah untuk menjadi ibu bapa yang baik. Walaupun mereka mempunyai banyak perangai yang menguji kesabaran, ibu bapa perlulah tetap tabah menyayangi mereka dengan sepenuh hati dan menjaga mereka bagai menatang minyak yang penuh.๐
Berbicara tentang anak, pada 22 Januari 2017, aku telah menjadi sukarelawan program hujung minggu di PERMATA Kurnia, Sentul dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari. PERMATA Kurnia merupakan sebuah pusat yang menempatkan kanak-kanak yang mempunyai sindrom autism serta bertujuan untuk memberikan permulaan hidup yang baik untuk kanak-kanak. PERMATA merupakan sesuatu yang amat berharga manakala Kurnia bermaksud anugerah istimewa. Tujuan pusat ini ditubuhkan adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang sindrom autism dan cara membantu anak-anak ini menjalani kehidupan harian.๐ถ๐ฝ
Inilah moto yang dipegang erat oleh Pusat PERMATA Kurnia. Autism Spectrum Disorder (ASD) merupakan gangguan neurologi yang dialami oleh kanak-kanak mengakibatkan mereka mempunyai masalah komunikasi, masalah bergaul dengan rakan sebaya dan skil bermain serta minat yang terhad. Hal ini kerana saraf mereka telah terganggu mengakibatkan impak negatif kepada imaginasi dan skil social. Pengalaman seharian mengasuh dan menghiburkan kanak-kanak autism ini banyak mengajar aku erti sabar dan cara melayan kanak-kanak dengan baik. Kanak-kanak ini perlu didekati dengan cara yang berbeza dengan mengenal pasti minat mereka. Selain itu, mereka juga didedahkan dengan pelbagai permainan dan video bagi membantu perkembangan neuron dan saraf mereka. ๐ฎ
Aku berasa amat bersyukur kerana diberi kesempatan untuk memanfaatkan hujung minggu dengan menjaga anak-anak autism di pusat PERMATA Kurnia. Gelagat mereka yang sangat aktif dan hyper amat mencuit hatiku. Walaupun kerenah mereka agak menguji kesabaranku namun melihat air muka mereka yang jernih dan comel menghiburkan hatiku dan membuatkan aku terlupa tentang masalahku sejenak. Walaupun bertubuh kecil, tenaga mereka umpama tenaga orang dewasa kerana mereka tidak kenal erti penat. Air mata, peluh dan air liur ibarat "perfume" yang melekat di tudung dan bajuku. Namun aku tidak berasa marah mahupun benci kepada anak-anak tersebut malah mereka berjaya menghiburkan hati kecilku ini. Aku berharap rakan-rakanku yang lain juga akan diberi peluang sebegini kerana pengalaman ini amat bermakna dan telah mengajar erti menghargai anugerah yang dikurniakan oleh Ilahi. ๐
Salam satu PERMATA ๐
0 comments:
Post a Comment