Sunday, 12 February 2017

Badan Cergas, Minda Cerdas 💪🏽

0

Aktiviti sukan merupakan aspek yang amat penting dalam melahirkan generasi yang holistik dan produktif. Namun begitu, ramai pelajar yang cenderung untuk fokus terhadap akademik dan peribadi diri sahaja sehingga mengabaikan kepentingan bersukan. Tanpa kita sedari, terdapat banyak maslahat daripada aktiviti sukan secara fizikal dan mental. 🏃

Aku merupakan pelajar yang kurang melibatkan diri dalam aktiviti sukan sebelum ini kerana kekangan waktu dan sikap malas bersukan. Pada suatu hari, aku terjumpa sebuah artikel yang membincangkan kepentingan bersukan kepada tubuh badan dan psikologi. Sejak itu, aku lebih menggiatkan diri dalam aktiviti sukan seperti berjoging pada waktu riadah dan melibatkan diri dalam latihan bola jaring untuk pemilihan mewakili sekolah ke MSSD yang akan dilangsungkan tidak lama lagi. Aku bukanlah seorang atlet dan matlamatku bukanlah untuk mewakili sekolah atau mendapat tempat semasa merentas desa, namun aku mahu menjadi seorang pelajar yang lebih sihat dan proaktif. 💃



Antara manfaat yang aku perolehi daripada bersukan termasuklah menyihatkan tubuh badan. Hal ini adalah kerana melalui aktiviti sukan, peluh dan bahan toksik dapat dikeluarkan daripada tubuh badan dan penyakit berbahaya seperti diabetes, serangan jantung dan tekanan dapat dielakkan. Tambahan pula, aktiviti sukan dapat meningkatkan kadar metabolisme seterusnya membakar kalori di dalam badan. Oleh itu, kita akan menjadi lebih sihat dan obesiti dapat dielakkan. Apabila badan kita menjadi cergas, minda juga akan menjadi cerdas kerana kadar oksigen dapat ditingkatkan dan darah akan dipam ke otak dan seluruh badan dengan lebih efisien membuatkan kita menjadi lebih aktif dan cerdas. 🚵


Bukan itu sahaja, bersukan juga dapat meningkatkan kualiti tidur dan aktiviti harian. Perkara ini diutarakan sedemikian kerana, apabila bersukan, badan kita akan memerlukan rehat yang secukupnya dan memberi isyarat kepada otak untuk mendapatkan tidur yang secukupnya serta masalah imsonia dapat dielakkan. Sehubungan dengan itu, kita akan menjadi cergas dan fokus pada keesokan hari dan dapat melakukan aktiviti harian dengan sempurna tanpa berasa letih atau tertekan. Dengan bersukan juga, kita dapat menstabilkan emosi dan berfikir dengan baik. 😄



Di samping itu, aktiviti sukan terbukti dengan jelas dapat mengatasi tekanan dan masalah yang dihadapi kerana semasa bersukan kita dapat melupakan masalah buat seketika kemudian tekanan tersebut dapat dikurangkan sedikit demi sedikit. Akhir sekali, aktiviti sukan dapat mengukuhkan ukhwah antara rakan dan menambah kenalan. Semasa bersukan, hubungan persahabatan dapat dieratkan kerana wujudnya semangat kesukanan yang tinggi dan kita juga dapat menambah kenalan apabila terlibat dalam pertandingan sukan hatta beriadah di taman rekreasi juga dapat menambah rakan. 👥

Konklusinya, aktiviti sukan amat penting buat semua lapisan masyarakat dan perlu dipupuk sejak awal lagi agar tidak menyesal di kemudian hari. Aku berharap agar aku lebih konsisten dalam bersukan dan tidak mudah putus asa atau berasa malas lagi. Marilah sama-sama kita menjadi generasi yang cergas dan cerdas. Majulah sukan untuk negara. 1Murid 1Sukan. 🍀

0 comments:

Post a Comment